Pages

Ads 468x60px

Saturday, 29 December 2012

GLOBALISASI TUNTUT LAKSANAKAN PERUBAHAN



Globalisasi merupakan salah satu isu utama abad ke-21.Globalisasi adalah satu proses perubahan kesan daripada peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat merentasi sempadan ‘geo-politik’ yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat di seluruh dunia.
Hal ini bermakna segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan politik sesebuah negara.

Kemajuan teknologi komunikasi  dan pemerosesan maklumat menjadi semakin canggih membolehkan  kita mengetahui segala peristiwa dan kejadian yang telah dan sedang berlaku di seluruh penjuru dunia dalam tempoh yang singkat sahaja. Ia menyebabkan batasan geografi dan sosial juga turut mengecil.
Kesan globalisasi terhadap mana-mana negara adalah besar.Globalisasi dikatakan  membawa pelbagai peluang kepada masyarakat dunia (negara). Namun, di sebalik itu timbul pelbagai cabaran yang harus dihadapi dan ditangani dengan bijaksana.

Bentuk globalisasi yang paling menonjol ialah globalisasi ekonomi, manakala ciri dan sifat utama globalisasi ialah persaingan . Bagi negara yang mahu terus maju maka ia harus bergiat aktif  dengan melibatkan diri dalam keseluruhan ekonomi antarabangsa. Ini adalah kerana globalisasi ekonomi menjadikan  persaingan, pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan modal insan turut menjadi global.
Proses ini menyebabkan  faktor-faktor pengeluaran bergerak mudah merentasi sempadan geo-politik negara lantaran persempadanan pasaran dan ekonomi dunia yang semakin mengecil itu.

Semuanya ini mempunyai kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan  ekonomi negara. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geo-politik  dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain.

Pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di era globalisasai ini juga mengutamakan elemen-elemen kreativiti dan inovasi yang tinggi.

Hakikatnya, globalisasi ekonomi menuntut kita melakukan perubahan berubah dari masa ke semasa. Negara perlu memiliki kelebihan bersaing (competitive edge) dalam pasaran antarabangsa.Daya saing kita mesti dipertingkatkan melalui pembangunan modal insan. 

Kepemimpinan dan pengurusan, sama ada  di sektor awam atau pun  swasta mestilah bersifat dinamik dan akomodatif. Ini penting bagi memastikan negara mampu berhadapan dengan cabaran persaingan ekonomi sejagat yang semakin meningkat.
Globalisasi dalam perdagangan antarabangsa juga memerlukan kita berinteraksi dengan pelbagai pihak dan pelbagai latar belakang budaya. Oleh itu, penguasaan dan kemahiran dalam bahasa-bahasa asing tertentu akan memberi kelebihan kepada kita untuk berpartisipasi dengan berkesan di arena antara bangsa.
Negara seharusnya sedia membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan pengurusan. Modal insan yang  berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif merupakan aset penting buat negara.

Para pengurus dan pemimpin organisasi yang dinamik, bertenaga dan berwawasan pula diperlukan untuk melonjak prestasi organisasi berasaskan standard atau piawai antarabangsa. Pengurus dan pemimpin yang memiliki ciri-ciri tersebut akan berupaya membina dan membangun suasana koporat yang dapat menggalakkan penghasilan yang berkualiti serta prestasi yang cemerlang.

Rakyat juga mesti bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam senario ekonomi dunia hari ini. Tiada mana-mana negara pun yang mampu mengasingkan diri daripada globalisasi ekonomi. Justeru, rangka pembangunan ekonomi nasional mestilah  terus bersifat  dinamik, kreatif  dan inovatif bagi memastikan ekonomi negara dapat bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif  sifatnya. Justeru, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) merupakan tindak balas kerajaan terhadap senario dan cabaran ekonomi global hari ini.

Kesimpulan, kita perlu menyedari bahawa kejayaan atau kegagalan negara adalah bergantung kepada keupayaan dan kemampuan kita merencanakan agenda transformasi ekonomi dan pengurusan serta perkhidmatan yang dinamik dan peka kepada perkembangan domestik dan antarabangsa dapat menggerakkan organisasi ke satu tahap kecemerlangan melalui usaha-usaha konkrit bagi memupuk sikap yang positif ke arah budaya kerja dan pengurusan yang cemerlang.

No comments:

Post a Comment

 

BEBAS PALESTIN

JUMLAH PENGUNJUNG