Sejak akhir-akhir ini kebangkitan Islam dapat dilihat di mana-mana negara di seluruh dunia. Kebangkitan ini adalah kebangkitan yang tidak boleh dihalang, disekat atau ditangguhkan. Kata Dr.Yusuf Al Qardhawi, "Kebangkitan Islam hari ini bukan lagi kebangkitan yang lahir dari peperangan, tetapi kebangkitan ini lahir melalui proses dakwah, bukan revolusi, perlawanan melalui persenjataan atau yang seumpamanya, tetapi kebangkitan ini adalah kebangkitan yang lahir dari lantera kesedaran umat manusia".
Hakikatnya setiap kuasa akan jatuh, tidak ada yang kekal kecuali Allah Taala. Binasanya idealisme-idealisme Barat, kuasa dan pengaruh-pengaruh mereka bertitik-tolak kepada kelemahan sistem dalam negara mereka sendiri. Kapitalisme, sosialisme, nasionalisme akan musnah ditelan zaman. Tetapi ingat, negara yang diperintah Islam juga akan hancur, apabila umatnya tenggelam dengan kebendaan.
Kerajaan Saba' yang disebut oleh Allah Taala di dalam Al Quran sebagai; Baldatun Toyyibah wa Rabbul Ghafur, satu kalimah yang popular menjadi sebutan, dan gerakan Islam banyak mengambil slogan ini sebagai syiar perjuangan mereka termasuklah PAS, yang maksudnya "Negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun".
Namun, di sebalik kemewahan dan keperluan yang dicapai itu ada ujian Allah Taala :
"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya" - Al Isra':16
Telah sampai amaran Allah tentang peristiwa runtuhnya Empangan Ma'arib di Saba', iaitu sebuah empangan yang menjadi sumber, kekayaan, kesuburan yang bertahun-tahun telah dibangunkan oleh tamadun kerajaan Balqis. Empangan ini merupakan sebuah empangan raksasa yang dapat menakung air di antara dua buah gunung dengan kapasiti purata jutaan gelen sehari. Akan tetapi kerana Kerajaan Saba’ ini mengalami kelemahan pada saat akhirnya, kelemahan tersebut bukannya kelemahan teknologi, bukan juga kelemahan ekonomi, tetapi yang menimpa mereka adalah kelemahan iman yang akhirnya menyebabkan Allah menimpakan bencana air bah yang disebut "Sailul Arim" (banjir besar).
"Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara" - Surah Saba':16
Saat ini yang kita lihat, Islam bangkit menumbang dan meruntuhkan sistem-sitem Jahiliyyah. Di Mesir dan Tunisia berlaku revolusi kebangkitan rakyat, bukannya melalui peperangan walaupun hakikat revolusi yang berlaku di negara-negara tersebut ada yang terbunuh. Insya Allah, kedua-dua negara ini akan diperintah dan digantikan oleh parti yang berpaksikan kepada gerakan Islam, di Tunisia Parti An Nahdah, di Mesir pula Parti Huriyyah wal 'Adalah, malah di mana-manapun kebangkitan ini akan merebak ke seluruh dunia.
Kuasa imperialis Barat ketika memikirkan untuk menjatuhkan gerakan Islam di Timur Tengah dan di negara-negara Islam yang lain, tanpa mereka sedar mereka menyaksikan sendiri kebangkitan Islam di negaranya sendiri. Itulah hakikat yang berlaku, di Amerika, Perancis, Britain dan Itali, telah berlaku kebangkitan dan kesedaran rakyatnya terhadap Islam padahal kerajaan mereka sering merancang untuk mencegahnya. Ketika negara-negara Barat sibuk mengacukan senjata di negara-negara umat Islam, Islam bangkit di negara mereka sendiri, Insya Allah kemenangan ini akan mengundang ke negara kita pula.
Islam Sebagai Rahmat Ke Seluruh Alam
Perjuangan Islam, perjuangan bersifat rahmat sebagaimana matlamat pengutusan Baginda S.A.W :
"Tidaklah kami mengutus engkau (Muhammad) kecuali menjadi rahmat ke sekalian alam" - Surah Al Anbiya:107.
Manakala pepatah ada menyebut, "Semahal-mahal minyak wangi, ia tidak akan dapat dihidu baunya jika botolnya ditutup, begitulah juga sehebat mana Islam ini, ia tidak akan dapat dirasai oleh semua jika tidak diperluaskan kebaikan (dakwah) itu di tengah khalayak".
Namun, masalah yang berlaku hari ini ialah adanya golongan yang cuba mencegah haruman Islam dari tersebar kepada seluruh masyarakat. Saluran-saluran yang boleh menghubungkan manusia kepada Islam mesti dibuka, jika tidak nanti ia akan memunculkan golongan yang akan memecah kebuntuannya. Jika Islam dimusuhi dengan keras, maka akan ada juga orang yang mempertahankan Islam walau dengan apapun bentuk kekerasan.
Dakwah Islam ini ibarat air yang mengalir dari atas bukit, jika ia disekat maka ia akan mencari haluan lain untuk menembusinya, kiri kanan seluruhnya dari segala arah akan cuba dilaluinya. Tetapi jika ia disekat dengan keras, maka ia akan menghasilkan gelombang yang sangat besar ibarat air yang melimpah dari empangan.
Di Libya, ada pimpinan gerakan pelajar yang ditangkap, diikat di tengah-tengah khalayak dan dituduh sebagai bughah (penderhaka) kerana menentang korupsi kerajaan. Ribuan manusia mati, ditangkap, ditindas dan dituduh sebagai pengkhianat negara. Namun, akhirnya kerajaan Libya dan pemimpinnya ditumbangkan rakyat akibat sekatan melampau yang dicipta oleh mereka. Begitulah juga sewaktu Firaun melaksanakan dasar-dasar kezaliman-nya, seluruh bayi Bani Israel dibunuh, tetapi dengan izin Allah Taala bayi yang sepatutnya dibunuh itu membesar dewasa dan ditarbiyah di mahligai Firaun sendiri, iaitu Nabi Musa A.S.
Sedarilah bahawa gelombang kebangkitan menentang kemungkaran ini akan berterusan sampai hari kiamat. Tetapi yang menjadi persoalan di dalam konteks kita hari ini sebagai aktivis gerakan Islam, di manakah kita waktu kebangkitan Islam? Adakah kita sekadar menjadi penyokong di belakang, ataupun berada di saff hadapan?
Dalam pada waktu itu, kita mestilah memahami bahawa langkah kemenangan ini mengambil masa yang panjang. Setiap proses pengislahan itu memakan masa, bukannya sekelip mata. Allah mengajar kita bahawa hukum dunia ini diproses melalui sunnah tadarruj (tahap demi tahap) sekalipun Allah mampu untuk menjadikannya sekelip mata dengan lafaz "kun fayakun". Ketika anak Khalifah Umar Abdul Aziz melihat ayahnya tidur, dia lantas mengugah membangkitkan ayahnya yang dibuai lena itu. Anaknya berkata, "Ayah boleh tidur dalam keadaan rakyat yang melarat, teraniaya, dizalimi, dan ada yang haknya tidak dipenuhi dengan sempurna?".
Khalifah Umar, selaku seorang yang faqih (memahami agama), menjelaskan kepada anaknya dengan berkata, "Jangan tergesa-gesa anakanda, kerana sesungguhnya Allah mencela arak dalam dua ayat (yang diturunkan pada waktu yang berbeza, tetapi tidak mengharamkannya) dan (hanya) mengharamkannya dalam ayat yang ketiga (yang diturunkan selepas itu). Sesungguhnya, ayahanda takut untuk mewajibkan al haq (perkara yang benar) ke atas manusia sekali gus, bimbang mereka akan menolaknya sekali gus. (Jika demikian) akan wujud dari kalangan kita orang yang (menyebabkan) fitnah".
Ketika PAS mencanangkan gagasan "negara berkebajikan", UMNO menafikan PAS bahawa mereka yang mula-mula melaksanakan negara kebajikan sejak bertahun-tahun dahulu. Tetapi, yang ingin dijelaskan di sini gagasan PAS ialah negara ber-kebajikan, bukannya negara kebajikan. Negara berkebajikan ialah negara yang amanah menguruskan ekonomi rakyat, negara yang bertanggungjawab menjaga amanah kepimpinan di hadapan Allah di dunia dan juga di hari akhirat. Negara yang sifar rasuah, negara yang adil dalam setiap perkara dan inilah negara berkebajikan yang kita perjuangkan, bukannya negara yang menyediakan jalan raya kemudiaan seluruh keuntungan pembinaan tersebut dibaham serakusnya oleh pemimpin tertinggi sahaja.
Tarbiyah Asas Kemenangan Islam
Tarbiyah adalah elemen yang mesti dihadam oleh setiap aktivis dalam gerakan Islam untuk mencapai kemenangan hakiki di dunia dan di akhirat. Kepimpinan mesti hadir usrah, mengikuti tamrin. Ahli gerakan yang tidak hadir usrah tidak sepatutnya menjadi calon pemimpin, kerana Allah akan menguji mereka selepas kemenangan dicapai. Namun, tarbiyah itu juga memiliki peringkat-peringkat yang berbeza, jangan kita letakkan dalam satu kategori yang sama. Antara aktivis dengan masyarakat yang umum, lain kaedah tarbiyahnya. Tidak sama pengorbanan orang awam dengan mereka yang 100% memusatkan seluruh pengorbanan dalam gerakan Islam. Ukuran tarbiyah adalah pengorbanan, jika masyarakat sedia mendengar ceramah dan kuliah, itupun sudah cukup jadi silibus tarbiyah bagi mereka.
Di Sarawak ada seorang yang mewaqafkan tanah sebanyak 25 ekar. Satu sejarah pengorbanan dalam perjuangan PAS. Ditaqdirkan Allah, selepas orang ini mewaqafkan tanah tersebut kepada PAS, dia meninggal dunia. Mudah-mudahan Allah merahmati perjuangan orang ini, yang dalam hatinya tidak ada selekoh untuk memegang jawatan, menjadi calon dan sebagainya.
Orang yang ditarbiyah juga sentiasa merujuk kepimpinan, kerana mereka khuatir akan tersebarnya pengaruh musuh dalam jemaah jika maklumat yang disampaikan tidak seangkatan makna dan maksudnya dengan pimpinan-pimpinan jemaah. Jika tidak bersetuju maka bantahan dilakukan menurut saluran yang dibenarkan. Mereka redha dengan setiap keputusan syura yang di lakukan dalam jemaah kerana adakalanya kita tidak suka sesuatu perkara itu, boleh jadi ia baik untuk kita. Begitulah juga ada perkara yang kita suka, kadang-kadang perkara itu buruk dan boleh meruntuhkan jemaah. Allah itu Maha Mengetahui sedangkan manusia tidak mengetahuinya.
Dalam perang Ahzab, Rasulullah mencadangkan Para Sahabat berperang di luar Madinah. Tetapi, Salman Al Farisi mencadangkan agar berperang di dalam Madinah dengan menggali parit di sekitarnya. Cadangan Salman dipersetujui oleh Para Sahabat lalu Baginda S.A.W mengikuti cadangan tersebut. Pandangan syura diambil mendahului pandangan peribadi, begitulah akhlak yang wajarnya kita pegang dalam disiplin berjemaah walaupun adakalanya ada beberapa isu yang kita tidak bersetuju.
Kita Parti Islam, maka kejayaan yang ingin kita capai bukan sekadar dalam pilihanraya. Tetapi apabila orang menilai kemenangan sesebuah parti itu, dan gagasan yang dihasilkan oleh parti itu hanya dapat dilunaskan dengan memenangi pilihanraya, maka kemenangan tersebut mestilah diusahakan dengan sesungguhnya. Orang tidak hanya akan melihat jiwa kita berkobar-kobar dengan semangat Islam, tetapi keputusannya adalah dengan memenangi pilihanraya.
Jika di Tunisia, Parti An Nahdah menang kita di sini seronok dengan berita kemenangan mereka. Bila Hamas menang di Palestin, kita yang tidak kenal mereka dan mereka tidak kenal kita masing-masing seronok dengan kemenangan tersebut, begitulah juga dengan parti-parti Islam di negara lain, masing-masing gembira jika rakan-rakan seperjuangan mereka berjaya mencapai kemenangan kerana roh memperjuangkan Islam yang sama antara kita dan mereka.
Setiap peredaran zaman yang berlaku, ketahuilah bahawa kita ini mata rantai perjuangan Islam. Buat akhirnya, mudah-mudahan kita semua menjadi generasi kebanggaan Rasulullah S.A.W.
Tuan Ibrahim Tuan Man
sumber: http://tarbawi.my/index.php/en/soal-jawab/politik-dan-gerakan/291-kebangkitan-masyarakat-global
No comments:
Post a Comment