Kita percaya kepada globalisasi tetapi kita menentang sekeras-kerasnya kepada konsep keseragaman hegemoni dan kepatuhan membuta tuli. Kita percaya bahawa kekayaan kebendaan cukup untuk dinikmati oleh semua tetapi kita juga menentang penguasaan wang dalam semua hal dan di seluruh pelosok dunia.
Dalam bukunya yang bertajuk A New Deal For Asia , Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengatakan bahawa fajar Era Maklumat kini sudah menyingsing dan dalam dunia tanpa sempadan yang datang bersama, tidak ada negara yang boleh mengasingkan dirinya. Katanya lagi, cabaran untuk belia abad ke 21 ialah untuk menyesuaikan diri terhadap Abad Dunia sambil mengekalkan sesetengah daripada perbezaan bangsa dan kepercayaan yang akan mengekalkan dunia ini suatu tempat yang kekal menarik.
Persoalannya, apakah kita generasi muda, benar-benar faham mengenai bentuk dan dinamik abad ke 21 serta era dunia tanpa sempadan ini? Apakah kita mampu mengatasi cabaran ini?
Secara ringkas, penglobalisasian adalah arena ‘survival of the fittest’. Hanya syarikat, bangsa atau pun negara yang terbaik, dapat merasai kenikmatan dan kesenangan yang bakal diterima. Hanya bangsa yang benar-benar bersedia yang akan dapat menyambung kerelevanan, menentu hala tuju dan maruah mereka sendiri di dalam dunia ini.
Kita, generasi muda, perlu sedar bahawa globalisasi bukannya satu mimpi tetapi ianya satu realiti dan sedang giat diaktifkan oleh pihak-pihak yang mampu untuk bersaing di dalam pasaran dan sempadan yang terbuka, hari ini dan di masa hadapan!
Kita mesti sedar bahawa generasi kita inilah yang bakal berdepan dan mengharungi era ini. Mahu tak mahu, kita terpaksa menerima kedatangannya! Tambahan pula, cetusan idea, daya kreativiti dan populasi manusia semakin bertambah menyebabkan dunia ini di rasakan semakin kecil.
Sebenarnya, kita kurang mengenali dan membau agenda-agenda tersembunyi pengglobalisasian ini. Syukur Alhamdulillah kerana pemimpin-pemimpin kita berjaya memangkin dan membantu meningkatkan pengertian kita mengenainya, sehingga mampu difahami oleh kebanyakan rakyat biasa di negara ini.
Sedihnya, jika konsep penglobalisasian tidak diubah, bangsa lain di dunia ini akan merempat dan dipinggirkan. Maka akan berlaku diskripensi kemewahan dan kemiskinan yang lebih menyeluruh, global dan bukan sahaja tertakluk di dalam sesebuah negara itu sahaja!
Dalam konteks bangsa Melayu pula, kemiskinan harta benda, pelajaran atau pun ekonomi bangsa ini tidak akan lagi dibandingkan dengan kaum-kaum majmuk di Malaysia ini sahaja tetapi dengan bangsa-bangsa gergasi lain di seluruh dunia ini! Jika bangsa Melayu, yang di ketahui lemah dan rendah prestasinya berbanding dengan kaum-kaum lain di tanah air sendiri,
. Di manakah letaknya bangsa Melayu di persada dunia ?
. Daripada beratus-ratus bangsa di dunia ini, apakah bangsa Melayu dapat duduk selesa dan kagum dengan kemajuan diri sendiri?
. Apakah bangsa Melayu boleh bertahan daripada dipijak oleh kaki-kaki bangsa gergasi di dunia ini?
Pastinya, gerun rasa hati apabila kita mula membuat perbandingan seperti di atas. Tetapi perlu diingat bahawa kita bernasib baik kerana kita masih diberi peluang untuk melengkapkan diri untuk menghadapi era tanpa sempadan kelak. Kita masih mempunyai masa tapi kita mesti akui bahawa masa bukannya menyebelahi kita. Ini adalah kerana, sebenarnya kita terikat dengan satu rangka masa yang ditetapkan oleh kuasa-kuasa besar di dunia.
Maksudnya, kita tidak mampu untuk mengikut rentak (pace) kita sendiri. Kita tidak mampu untuk barjalan dengan lemah longlai seperti hari ini tetapi rentak (pace) kemajuan ekonomi, pelajaran dan perpaduan bangsa dan negara perlu lebih bersemangat dan disegerakan.
Realitinya, bahang globalisasi telah mulai dirasakan hari ini. Generasi yang bakal mengharungi era ini pula adalah kita sendiri, generasi muda dan generasi pelajar-pelajar pada hari ini!
Semestinya kita telah mula melengkapkan diri dengan belajar dan berusaha memiliki budaya mampu saing global, di samping mengukuhkan pegangan agama, tradisi dan budaya nasional. Bukannya dengan menyempitkan pemikiran kita kepada sesuatu ideologi yang tidak praktikal dan tidak berpijak di bumi yang nyata, atau pun dengan cara mudah yang lain iaitu dengan menyalahkan orang lain dan generasi sebelum kita!
Yang nyatanya, bangsa dan negara ini mesti bekerja keras, mempelbagai dan meningkatkan segala kemahiran hidup untuk bersaing kelak.
oleh: Dr Novandri Hasan Basri
http://novandri.blogspot.com/2006/01/pengglobalisasian-impak-kepada-generasi.html
http://novandri.blogspot.com/2006/01/pengglobalisasian-impak-kepada-generasi.html
No comments:
Post a Comment