Globalisasi
merupakan salah satu isu utama abad ke-21. Apakah maksud
globalisasi ? Globalisasi adalah satu proses perubahan kesan daripada
peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat merentasi sempadan ‘geo-politik’
yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat di seluruh dunia. Ini
bermakna segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan
politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan politik sesebuah negara.
Kemajuan
teknologi komunikasi dan pemerosesan maklumat menjadi semakin canggih
membolehkan kita mengetahui segala peristiwa dan kejadian yang telah dan
sedang berlaku di seluruh penjuru dunia dalam tempoh yang singkat sahaja. Ia
menyebabkan batasan geografi dan sosial juga turut mengecil.
Kesan
globalisasi terhadap mana-mana negara adalah besar.Globalisasi dikatakan
membawa pelbagai peluang kepada masyarakat dunia (negara). Namun, di sebalik
itu timbul pelbagai cabaran yang harus dihadapi dan ditangani dengan bijaksana.
Bentuk
globalisasi yang paling menonjol ialah globalisasi ekonomi, manakala ciri
dan sifat utama globalisasi ialah persaingan . Bagi negara yang mahu terus maju
maka ia harus bergiat aktif dengan melibatkan diri dalam keseluruhan
ekonomi antarabangsa. Ini adalah kerana globalisasi ekonomi menjadikan persaingan,
pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan modal insan turut
menjadi global.
Proses
ini menyebabkan faktor-faktor pengeluaran bergerak mudah merentasi
sempadan geo-politik negara lantaran persempadanan pasaran dan ekonomi dunia
yang semakin mengecil itu. Semuanya
ini mempunyai kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.
Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana
wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan
domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan
geo-politik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah
negara ke negara yang lain.
Pertumbuhan
dan kemajuan ekonomi di era globalisasai ini juga mengutamakan elemen-elemen
kreativiti dan inovasi yang tinggi. Hakikatnya,
globalisasi ekonomi menuntut kita melakukan perubahan berubah dari masa ke
semasa. Negara perlu memiliki kelebihan bersaing (competitive edge) dalam
pasaran antarabangsa.Daya saing kita mesti dipertingkatkan melalui pembangunan
modal insan.
Kepemimpinan
dan pengurusan, sama ada di sektor awam atau pun swasta mestilah
bersifat dinamik dan akomodatif. Ini penting bagi memastikan negara mampu
berhadapan dengan cabaran persaingan ekonomi sejagat yang semakin meningkat. Globalisasi
dalam perdagangan antarabangsa juga memerlukan kita berinteraksi dengan
pelbagai pihak dan pelbagai latar belakang budaya. Oleh itu, penguasaan dan
kemahiran dalam bahasa-bahasa asing tertentu akan memberi kelebihan kepada kita
untuk berpartisipasi dengan berkesan di arena antara bangsa.
Negara
seharusnya sedia membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan
pembangunan pengurusan. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran
tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif merupakan aset penting
buat negara.
Justeru,
Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) merupakan
tindak balas kerajaan terhadap senario dan cabaran ekonomi global hari ini. Pelancaran
Pelan Hala Tuju ETP yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC
pada 25 Oktober lalu membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk
membawa perubahan dan kemajuan ekonomi negara setanding dengan ekonomi
negara-negara maju – negara maju berpendapatan tinggi.
Kesimpulan,
kita perlu menyedari bahawa kejayaan atau kegagalan negara adalah bergantung
kepada keupayaan dan kemampuan kita merencanakan agenda transformasi ekonomi
dan pengurusan serta perkhidmatan yang dinamik dan peka kepada perkembangan
domestik dan antarabangsa dapat menggerakkan organisasi ke satu tahap
kecemerlangan melalui usaha-usaha konkrit bagi memupuk sikap yang positif ke
arah budaya kerja dan pengurusan yang cemerlang.
Oleh
Mohd Ayop Abd Razid
No comments:
Post a Comment