Pages

Ads 468x60px

Featured Posts

Wednesday, 2 January 2013

KESAN EKONOMI GLOBAL KEPADA MALAYSIA



S
ecara relatifnya, negara berjaya melalui pelbagai ujian baik dari segi politik, ekonomi dan sosial sejak 50 tahun lalu biarpun terpaksa melalui rencam halangan serta dugaan semasa yang sangat mencabar. Prestasi dan kedudukan ekonomi Malaysia tetap berada dalam keadaan memberangsangkan walaupun perkembangan semasa perdagangan antarabangsa, domestik dan pasaran saham agak kurang stabil sejak kebelakangan ini. Realiti ini adalah bersifat global dan bukan Malaysia sahaja yang merasainya bahkan merangkumi negara-negara maju dan membangun lain termasuklah Amerika Syarikat (AS) sendiri.

Sungguhpun begitu, ekonomi global diramal terus berkembang perlahan pada kadar 3.9 peratus pada 2009 berbanding 4.1 pada 2008 berikutan ketidaktentuan prospek pertumbuhan ekonomi AS berikutan krisis gadai janji subprima dan pasaran perumahan yang lemah di sana yang masih membelenggu dan memarahkan lagi keadaan fundamental ekonominya. Ini diburukkan lagi dengan pengumuman bankrap terhadap Lehman Brothers, bank pelaburan terbesar Amerika Syarikat (AS), ketika Rizab Persekutuan dan bank utama global mengambil langkah strategik mengukuhkan pasaran kewangan.

Pengumuman kerugian besar syarikat kewangan terkemuka seperti Merill Lynch dan American International Group Inc (AIG) menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap pasaran kewangan AS, sekali gus mempengaruhi sentimen di pasaran kewangan global. Dalam perkembangan berkaitan, usaha Bank of America membeli bank pelaburan Merril Lynch bernilai AS$50 bilion dalam satu urus niaga yang mewujudkan syarikat perkhidmatan kewangan terbesar dunia. Susulan pembelian itu, Bank of America akan memiliki pembrokeran terbesar di dunia dengan kira-kira 20,000 penasihat dan aset pelanggan bernilai AS$2.5 trilion. Di sini, apa yang berlaku di AS boleh memberi kesan dan tempiasan kepada ekonomi Malaysia memandangkan hubungan perdagangan sangat penting wujud sejak sekian lama.

Keadaan ini sudah tentu memberi tekanan kepada Malaysia biarpun secara amnya ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan melebihi jangkaan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 6.7 peratus dalam tempoh separuh pertama 2008. Pertumbuhan itu disokong kecergasan penggunaan awam dan swasta serta permintaan luar yang kukuh. Bagaimanapun, pertumbuhan ini dijangka perlahan bagi tempoh separuh kedua tahun ini berikutan persekitaran luar yang tidak menentu termasuklah harga minyak mentah yang masih tidak menentu dijangka memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan eksport, terutama bagi produk elektrik dan elektronik (E&E).

Dari sudut ekonomi domestik, tekanan inflasi akibat kenaikan harga minyak mentah sebelum ini dan peningkatan harga makanan dijangka memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna dan pelaburan dari mask e semasa. Meskipun berdepan cabaran ini, ekonomi negara diharapkan masih mampu terus memperoleh manfaat berikutan harga komoditi yang teguh serta pertumbuhan kukuh negara membangun dan negara ekonomi sedang berkembang pesat, justeru dapat mengurangkan kesan ekonomi global yang agak perlahan. Sehubungan itu, sektor perkhidmatan yang berpotensi tinggi untuk diterokai seperti kewangan, profesional dan perniagaan, pembinaan, pendidikan dan latihan serta pelancongan perlulah diperkemas serta dimantapkan lagi sewajarnya. Selain itu, perkhidmatan kesihatan, logistik dan perkhidmatan teknologi maklumat merupakan sektor yang dilihat dapat menyediakan peluang besar kepada syarikat-syarikat tempatan.

Ini adalah kerana, pertumbuhan ekonomi yang pesat dan berdaya maju membuka peluang besar kepada keuntungan syarikat meningkat, sekali gus meningkatkan perolehan kerajaan kerana melalui keuntungan tersebut, kerajaan mendapat hasil cukai yang lebih tinggi. Daripada perolehan cukai yang semakin tinggi ini, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat, menyediakan kemudahan awam, membasmi kemiskinan dan sebaginya. Oleh yang demikian, sektor industri terutamanya perlulah diperkasakan lagi memandangkan ianya menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat tempatan dalam usaha mengeluarkan hasil lebih tinggi dan bahan digunakan juga bertambah.

Hasil keluaran komoditi utama negara juga perlu dipertingkatkan seperti jumlah keluaran minyak sawit mentah dan getah yang harganya kini melonjak tinggi dan memberi pulangan lumayan kepada penanam serta penoreh sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Di samping itu, industri pelancaongan negara juga wajar dipertingkatkan kerana ianya turut menyumbangkan kepada pendapatan negara. Pada tahun 2007, menyaksikan kedatangan lebih 20 juta pelancong asing ke Malaysia dengan meraih hasil bernilai RM46.7 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 dan secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan sektor perkhidmatan negara termasuk perhotelan, kraftangan, seni halus, perniagaan runcit, restoran, kewangan dan sebagainya.

Pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), koridor ekonomi dan sistem penyampaian mestilah diperbaiki dan dipertingkatkan agar dapat memberi kesan positif jangka panjang kepada ekonomi negara. Tahap keyakinan pelabur asing ke negara kita hendaklah berada pada tahap yang tinggi biarpun terpaksa berhadapan dengan tekanan politik dalaman dan dalam hal ini pelabur tidak akan mengambil risiko kewangan untuk melabur sekiranya mereka tidak yakin dengan kerajaan yang ada dan wujudnya ketidakstabilan politik. Oleh itu, usaha dan tindakan pantas menarik serta meningkatkan keyakinan pelabur perlu dipergiatkan lagi dari masa ke semasa. Setakat ini negara juga berdepan dengan kelebihan negara membangun lain seperti China, Vietnam, India, Thailand, Indonesia dan sebagainya yang dilihat saingan utama kepada negara.

Menurut Tan Sri G. Gnanalingam, Pengerusi Eksekutif Wesports bahawa selepas mengalami pembangunan kira-kira 50 tahun, kita boleh menyatakan bahawa negara ini memiliki salah satu infrastruktur yang terbaik di dunia di segi jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan malah Koridor Raya Multimedia. Kerajaan telah melakukan banyak usaha agar setiap rakyat memiliki sebuah rumah, setiap murid mempunyai mejanya sendiri di sekolah, setiap pesakit di hospital mempunyai katilnya sendiri dan malah negara ini menyediakan pekerjaan bagi setiap 2.5 juta pekerja asing di samping pendapatan negara diagihkan kepada rakyat dalam bentuk penyediaan peluang pekerjaan, kemudahan awam yang lebih baik termasuklah pendidikan, kesihatan, perumahan dan sebagainya.
.
Sambil ekonomi negara telah berkembang sejak 50 tahun lepas pada kadar 6.0 hingga 8.0 peratus setahun, pemberian upah di negara ini dikatakan tidak sepadan dengan pertumbuhan sedemikian memandangkan kebanyakan syarikat sektor swasta di sini masih lagi membayar upah kepada pekerja yang bertaraf dunia ketiga. Sejak 50 tahun lepas, pembayaran upah di Singapura telah meningkat 7.5 kali daripada upah di Malaysia dan secara perbandingannya, pendapatan rakyat di Hong Kong lebih tinggi dari di Singapura dan rakyat Jepun menerima pendapatan lebih dari rakyat Hong Kong. Ini penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana melibatkan prestasi dan produktiviti pekerja di negara kita.

Adalah
diharapkan pelan dan formula peralihan kuasa yang mungkin akan dipercepatkan di antara Perdana Menteri dan timbalannya seperti mana yang telah dipersetujui dan pertukaran portfolio yang melihatkan perlantikan Menteri Kewangan 1 yang baru serta penurunan harga minyak yang dijangka bakal dilakukan sebelum hari raya Aidilfitri ini diharapkan mampu merangsang dan memacu ekonomi negara di landasan yang betul. Rakyat menaruh kepercayaan yang tinggi serta berharap agar kerajaan dapat melakukan sesuatu agar kestabilan ekonomi, politik dan sosial di dalam negara kekal berada pada tahap yang terbaik dan kukuh pada masa hadapan.


RUJUKAN

KLCI susut bawah 1,000 mata, Berita Harian, 19 September 2008
Malaysia kurang terjejas krisis kewangan AS, 19 September 2008
Ekonomi negara tetap kukuh, 19 September 2008
Bank pelaburan Amerika bankrap, Berita Harian, 16 September 2008
'Infrastruktur kelas pertama, upah dunia ke-3', Utusan Malaysia, 15 September 2008
Kenapa masih tidak yakin?, Mingguan Malaysia, 25 Februari 2007
Tahun Melawat Malaysia raih RM46.7b, Utusan Malasyia, 18 Februari 2008

Laman web:
http://www.bharian.com.my/klikkhas/bajet/Artikel2009/LaporanEkonomi/20080829164959/Article/
http://www.bharian.com.my/klikkhas/bajet/Seksyen/index_html?mysec=LaporanEkonomi

sumber: http://mohamadsofee.blogspot.com/2008/09/kesan-ekonomi-global-kepada-malaysia.html

KUASA EKONOMI DUNIA PERLU AMAL PENDEKATAN PELESTARIAN PEMBANGUNAN UNTUK HADAPI ISU SUBPRIMA PROSISEKONOMI



TIGA perkara besar diuar-uarkan sebagai arus perdana ketika bermula alaf baru kira-kira sembilan tahun lalu, iaitu globalisasi, K-ekonomi dan perubahan iklim. Ketiga-tiga perkara ini seolah-olah wajib difahami di kalangan komuniti perdagangan, intelektual dan birokrat. Hal ini seterusnya diterjemahkan dalam bentuk dasar dan strategi dalam pelbagai sektor.
Salah seorang rakan saya pernah ditemubual untuk kenaikan pangkat kira-kira sembilan tahun lalu. Malangnya beliau tidak dapat menjawab dengan tepat dan meyakinkan mengenai ciri-ciri globalisasi yang antara lain membabitkan integrasi global dari segi barang, modal dan pekerjaan. Lebih malang lagi, beliau sinis terhadap konsep dan kesan globalisasi.

Menurut beliau, globalisasi akan membuka banyak ruang sehingga menghilangkan citra istimewa dan ciri kebangsaan sesebuah negara. Bahasa ibunda sebagai contoh, semakin tersudut pengaruhnya, malah menjadi kurang relevan termasuk dalam konteks perdagangan dan pengajian tinggi. Dengan pendirian sedemikian, rakan saya itu tergolong dalam kelompok pesimis atau barangkali pada anggapan panel temu duga, tidak mengikuti perkembangan semasa. Akibatnya beliau gagal dalam temubual.
Hari ini dalam kegawatan ekonomi dunia banyak pihak mula memikirkan semula konsep dan rasional globalisasi. Suara sinis mengenai globalisasi semakin lantang kedengaran. Malah, Perdana Menteri Britain Gordon Brown turut kritikal terhadap gagasan globalisasi dalam konteks krisis kewangan antarabangsa.

Bermula dengan krisis subprima di Amerika Syarikat pada 2007, dunia ketika ini menyaksikan krisis ekonomi dan kewangan menular ke seluruh dunia yang sering kali diungkapkan sebagai entiti global tanpa sempadan. Menurut ramai pakar ekonomi, krisis ini adalah paling parah sejak kemelesetan global kira-kira 80 tahun lalu.

Semua petunjuk ekonomi mencatatkan penurunan mendadak atau lebih malang lagi hampir muflis, termasuk kewangan syarikat multinasional yang biasanya kebal-kemelesetan menerusi pelbagai strategi globalisasi. Satu demi satu syarikat gergasi mengumumkan masalah kewangan dan strategi untuk terus survival menerusi bantuan kewangan pakej rangsangan ekonomi. Malah, syarikat insurans terbesar dunia, AIG yang sepatutnya paling stabil untuk meyakinkan pelanggan mencatatkan kerugian paling besar dalam sejarah korporat dunia untuk tahun kewangan 2008.
Pada akhir 2008, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi dunia berkembang hanya 2.2 peratus pada 2009, kurang separuh berbanding 2007. Namun demikian, IMF baru saja mengumumkan ramalan terkini hanya 0.5 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh 60 tahun. Bahkan banyak pihak meramalkan kadar 0.5 peratus itu masih dianggap terlalu optimistik.

Paling teruk mengalami kemelesetan ekonomi ialah negara terlalu bergantung kepada perdagangan global daripada sumbangan kepada KDNK. Singapura misalnya menyumbang 186 peratus nilai eksport kepada KDNK ketika ini mengalami pengecutan ekonomi. Hal ini ketara menerusi penguncupan sebanyak 17 peratus pada suku keempat 2008. Nilai eksport Taiwan pula menyumbang 60 peratus kepada KDNK yang dijangka mengalami pengecutan 11 peratus tahun ini.

Menurut IMF lagi, ekonomi negara maju dijangka mengecut dengan purata dua peratus, kecuali Jepun (2.6 peratus) dan Jerman (2.5 peratus) yang banyak bergantung kepada eksport. Negara membangun yang banyak bergantung kepada pasaran dan perdagangan antarabangsa misalnya dalam bidang pelancongan juga dijangka turut mengalami pengecutan ekonomi ketara.

Pertubuhan Pelancongan Dunia melaporkan pengurangan pelancong sebanyak satu peratus pada separuh tahun pertama 2008 berbanding lima peratus setahun selama empat tahun berturut-turut sebelumnya.
Namun demikian negara membangun seperti India dan China nampaknya masih terus mencatatkan peratus pertumbuhan ekonomi positif, biarpun berlaku pengurangan ketara. India misalnya dijangka akan mengalami kadar pertumbuhan 7.1 peratus sehingga April 2009. Dengan nilai eksport hampir 15 peratus terhadap KDNK, maka purata pertumbuhan ekonomi 2009 dijangka lima peratus.

China masih mencatat pertumbuhan positif 6.8 peratus pada suku keempat 2008. Menerusi pakej rangsangan ekonomi lebih AS$600 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Wen Yanbao semalam maka kadar pertumbuhan ekonomi China dijangkakan pada lapan peratus tahun ini.

Bagaimanapun jumlah eksport China mencatatkan penurunan 18 peratus dan import 43 peratus pada 2008 sehingga Januari lalu. Brazil pula mencatatkan penguncupan sejak suku keempat 2008. Ketika-tiga negara terbabit mempunyai persamaan dari segi pasaran domestik yang besar, dan sistem perbankan stabil tidak dipengaruhi dasar liberalisasi.

Situasi ekonomi gawat ini menjadikan gagasan globalisasi semakin tidak popular. Realitinya globalisasi mendedahkan seluruh negara  kecil atau besar, kaya atau miskin kepada ancaman dan ketidaktentuan global. Dalam keadaan sedemikian, sukar untuk mengawal dan menghalang kesan global dalam bentuk pengaliran modal, barang apatah lagi kemelut kewangan.

Banyak dasar yang diumumkan untuk mengawal kemelesetan ekonomi pada peringkat kebangsaan ketika ini - misalnya dari segi kewangan dan rangsangan ekonomi  menunjukkan peranan ekonomi sesebuah negara semakin bergantung kepada kuasa global yang entah di mana titik gravitinya.

Itulah sebabnya ramai pemikir pembangunan dan pakar ekonomi mula gusar mengenai pengaruh buruk globalisasi. Globalisasi menyukarkan perancangan ekonomi, apatah lagi pelestarian pembangunan. Banyak konsep pelestarian yang sebelum ini mempunyai komponen alam sekitar misalnya semakin tersudut akibat faktor kewangan.

Kadar pengangguran semakin meningkat, dan kesejahteraan masyarakat juga kian terancam. Itulah latar belakang sehingga menyebabkan ahli ekonomi Filipina, Walden Bello menulis buku terbaru Deglobalisation: Ideas for a New World Economy. Beliau tidak keseorangan dalam mengkritik globalisasi. Banyak pemimpin negara termasuk Presiden China turut pesimis.

Bahkan rakan saya yang gagal dalam temubual kenaikan pangkat itu juga nampaknya tambah lantang mengemukakan pelbagai hujah bahawa globalisasi lebih banyak mendatangkan risiko dalam konteks pengurangan peranan institusi lokal dan penghakisan ciri berunsur kebangsaan. Beliau juga mempersoalkan kebijaksanaan panel temu duga yang terlalu taksub dan pasrah dengan gagasan dan idealisme globalisasi.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Saturday, 29 December 2012

GLOBALISASI TUNTUT LAKSANAKAN PERUBAHAN



Globalisasi merupakan salah satu isu utama abad ke-21.Globalisasi adalah satu proses perubahan kesan daripada peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat merentasi sempadan ‘geo-politik’ yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat di seluruh dunia.
Hal ini bermakna segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan politik sesebuah negara.

Kemajuan teknologi komunikasi  dan pemerosesan maklumat menjadi semakin canggih membolehkan  kita mengetahui segala peristiwa dan kejadian yang telah dan sedang berlaku di seluruh penjuru dunia dalam tempoh yang singkat sahaja. Ia menyebabkan batasan geografi dan sosial juga turut mengecil.
Kesan globalisasi terhadap mana-mana negara adalah besar.Globalisasi dikatakan  membawa pelbagai peluang kepada masyarakat dunia (negara). Namun, di sebalik itu timbul pelbagai cabaran yang harus dihadapi dan ditangani dengan bijaksana.

Bentuk globalisasi yang paling menonjol ialah globalisasi ekonomi, manakala ciri dan sifat utama globalisasi ialah persaingan . Bagi negara yang mahu terus maju maka ia harus bergiat aktif  dengan melibatkan diri dalam keseluruhan ekonomi antarabangsa. Ini adalah kerana globalisasi ekonomi menjadikan  persaingan, pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan modal insan turut menjadi global.
Proses ini menyebabkan  faktor-faktor pengeluaran bergerak mudah merentasi sempadan geo-politik negara lantaran persempadanan pasaran dan ekonomi dunia yang semakin mengecil itu.

Semuanya ini mempunyai kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan  ekonomi negara. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geo-politik  dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain.

Pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di era globalisasai ini juga mengutamakan elemen-elemen kreativiti dan inovasi yang tinggi.

Hakikatnya, globalisasi ekonomi menuntut kita melakukan perubahan berubah dari masa ke semasa. Negara perlu memiliki kelebihan bersaing (competitive edge) dalam pasaran antarabangsa.Daya saing kita mesti dipertingkatkan melalui pembangunan modal insan. 

Kepemimpinan dan pengurusan, sama ada  di sektor awam atau pun  swasta mestilah bersifat dinamik dan akomodatif. Ini penting bagi memastikan negara mampu berhadapan dengan cabaran persaingan ekonomi sejagat yang semakin meningkat.
Globalisasi dalam perdagangan antarabangsa juga memerlukan kita berinteraksi dengan pelbagai pihak dan pelbagai latar belakang budaya. Oleh itu, penguasaan dan kemahiran dalam bahasa-bahasa asing tertentu akan memberi kelebihan kepada kita untuk berpartisipasi dengan berkesan di arena antara bangsa.
Negara seharusnya sedia membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan pengurusan. Modal insan yang  berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif merupakan aset penting buat negara.

Para pengurus dan pemimpin organisasi yang dinamik, bertenaga dan berwawasan pula diperlukan untuk melonjak prestasi organisasi berasaskan standard atau piawai antarabangsa. Pengurus dan pemimpin yang memiliki ciri-ciri tersebut akan berupaya membina dan membangun suasana koporat yang dapat menggalakkan penghasilan yang berkualiti serta prestasi yang cemerlang.

Rakyat juga mesti bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam senario ekonomi dunia hari ini. Tiada mana-mana negara pun yang mampu mengasingkan diri daripada globalisasi ekonomi. Justeru, rangka pembangunan ekonomi nasional mestilah  terus bersifat  dinamik, kreatif  dan inovatif bagi memastikan ekonomi negara dapat bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif  sifatnya. Justeru, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) merupakan tindak balas kerajaan terhadap senario dan cabaran ekonomi global hari ini.

Kesimpulan, kita perlu menyedari bahawa kejayaan atau kegagalan negara adalah bergantung kepada keupayaan dan kemampuan kita merencanakan agenda transformasi ekonomi dan pengurusan serta perkhidmatan yang dinamik dan peka kepada perkembangan domestik dan antarabangsa dapat menggerakkan organisasi ke satu tahap kecemerlangan melalui usaha-usaha konkrit bagi memupuk sikap yang positif ke arah budaya kerja dan pengurusan yang cemerlang.

 

BEBAS PALESTIN

JUMLAH PENGUNJUNG